Hati-Hati: Pelajar Nyaris Kena Jual



GOMBAK: Misteri kehilangan Nurul Syaza Fadzil, 13, ketika pergi membeli nasi lemak berhampiran rumahnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves di sini, seminggu lalu terungkai semalam.Keluarganya menemui semula pelajar tingkatan dua itu yang dipercayai hampir dijual sebagai pelayan kelab malam.

Gadis terbabit mendakwa dikurung lebih 10 lelaki berusia belasan tahun menjangkau 20-an di sebuah pangsapuri di Jalan Kenanga, berhampiran Penjara Pudu, tanpa diberi makan selain dibelasah berikutan enggan menurut arahan supaya dia menghidu gam.

Ketika ditemui di rumahnya semalam, Syaza berkata, ketika kejadian dia berjumpa seorang rakan dikenali sebagai Ola, 13, yang mengajaknya ke kompleks beli-belah berhampiran untuk membeli baju.

“Saya enggan mengikutnya kerana tak pernah keluar bersendirian mahupun bersama rakan tanpa ditemani keluarga.

“Bagaimanapun, dia mengugut akan membelasah saya bersama rakannya jika tidak menurutinya,” katanya.

Berikutan ugutan itu, dia terpaksa menemani Ola membeli-belah kerana rakannya itu mempunyai kenalan di kalangan samseng di kawasan berkenaan.

“Saya diperkenalkan kepada dua lagi rakan perempuan Ola yang berusia 20-an, seorang daripada mereka dikenali sebagai Kak Erin sebelum dibawa ke pangsapuri Kenanga serta berjumpa lebih 10 lelaki yang semuanya memakai baju hitam putih seperti uniform.

“Di pangsapuri itu saya dikurung di bilik tingkat empat dan ditampar berikutan enggan hidu gam dan minum arak seperti mereka,” katanya.

Syaza yang sebak ketika menceritakan pengalaman pahit itu menyatakan kediaman itu yang dipercayai dimiliki Kak Erin, dijadikan ‘markas’ kumpulan terbabit melakukan kerja hina seperti menghisap dadah dan meminum arak. Mereka hanya dibenarkan memakai baju hitam putih walaupun corak dan fesyen berlainan.

“Saya turut dibawa membeli baju warna sama di pusat beli-belah berhampiran dengan hasil wang samun ahli kumpulan terbabit berikutan telefon bimbit dan wang saya RM20 dirampas,” katanya.

Katanya, kumpulan terbabit mendapatkan wang harian dengan menyamun orang ramai di sekitar kawasan berkenaan dan hasilnya lebih RM500 sehari berserta telefon bimbit. “Saya takut ketika bersama mereka, tapi terpaksa mendiamkan diri kerana tiada cara melarikan diri atau menghubungi keluarga.

“Selain saya, ada tiga lagi gadis menjadi mangsa kumpulan itu, termasuk seorang daripadanya berusia 17 tahun sudah dijual untuk dijadikan pelayan kelab malam,” katanya.

Syaza diberitahu ahli kumpulan terbabit bahawa dia akan dijual dalam tempoh terdekat sebagai pelayan kelab malam sekitar ibu kota .“Selang beberapa hari kemudian, saya dibawa untuk dijual di sekitar Damansara dan ketika menunggu van di bawah pangsapuri yang akan membawa saya ke destinasi, ayah tiba-tiba datang membantu,” katanya.

Ayahnya, Fadzil Bakar, 53, mendapat maklumat daripada seorang kenalan iaitu ahli jawatankuasa penduduk yang memberitahu Syaza berada di pangsapuri itu. Menurut Fadzil, dia bersama kenalan tiba tepat pada masanya iaitu beberapa saat sebelum Syaza dijual kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

“Kumpulan terbabit yang masih ‘budak-budak’ melarikan diri kerana bimbang saya dan kenalan membelasah mereka,” katanya. Fadzil berkata, dia membawa anaknya pulang dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abdul Karim Abu Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penemuan semula mangsa dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit.“Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan bagi memastikan sama ada kes itu turut membabitkan jenayah seksual.

“Laporan perubatan belum dikeluarkan, jadi kami belum dapat memastikan sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya memandangkan dia dikurung sekumpulan lelaki selama seminggu,” katanya.

No comments:

Post a Comment